MENGURUSKAN PENYAKIT KETURUNAN

Penyakit-penyakit keturunan yang dihidapi sukar untuk disembuhkan. Ini kerana ia berkait rapat dengan genetik yang diturunkan dari ibu bapa. Namun begitu, terdapat beberapa cara bagi menguruskan penyakit seperti konsultasi dan rawatan susulan oleh doktor pakar, merancang keluarga, dan mengamalkan budaya hidup yang sihat.

Meskipun kebanyakan gangguan gen tidak boleh diubati, beberapa pendekatan boleh digunakan bagi menguruskan sebahagian dari tanda-tanda dan simtom-simtom penyakit.

Ini termasuklah:

a) Perubahan diet atau penggantian enzyme bagi mengganti kekurang enzyme berkenaan. Ini mungkin dapat mencegah komplikasi masa hadapan.

b) Pembedahan bagi memperbaiki kecacatan (contoh: jantung), pemindahan organ dan transplantasi sumsum tulang.

c) Pemeriksaan dan pengawasan yang lebih kerap atau pembedahan pencegahan.
Biasanya penjagaan sokongan seperti mengurangkan kesakitan dan bantuan pernafasan mekanikal boleh diberikan kepada pesakit berkenaan.

Percayalah. Walaupun tampak seperti di luar kawalan, namun pesakit dan keluarga mereka masih mempunyai pilihan untuk fokus kepada aspek-sapek yang di dalam kawalan mereka. Memang kita semua dilahirkan dengan kekuatan dan kelemahan genetik yang tersendiri. Tetapi dengan membuat pilihan yang tepat tentang nutrisi, gaya hidup dan senaman, kita boleh mengeluarkan yang terbaik atau terburuk dalam profil genetik kita.

Kajian menujukkan nutrisi yang baik boleh membantu memperbaiki prestasi tidak kira samada kita mewarisi gen yang baik atau buruk. Sebaliknya, nutrisi yang tidak berkualiti dan gaya hidup yang tidak sihat boleh melencongkan gen kita ke arah gelagat yang paling buruk.

Begitu juga dengan senaman. Selain dari menguatkan otot-otot dan mengurangkan lemak darah, ia juga mengaktifkan banyak gen yang terlibat dalam pembakaran lemak dan karbohidrat. Seterusnya ini menggiatkan pula aktiviti metabolisma yang selari dengan keperluan kesihatan kita.

Oleh itu, hati-hati bila membuat pilihan dan melakukan sesuatu. Apa yang kita buat atau tidak buat ada sahamnya dalam menentukan kesihatan dan kelangsungan hidup kita.
Sebagai contohnya, dengan gaya hidup sihat dan rawatan yang lebih baik, ramai orang yang menghidapi cystic fibrosis dapat hidup dengan baik sehinggalah mereka dewasa.

Peranan ibubapa sangatlah penting sebagai role-model dan penjaga yang baik kepada kanak-kanak. Ibu bapa harus cakna dengan keadaan anak-anak. Sekiranya anak-anak sering mengalami masalah lemah otot atau sering terjatuh, eloklah dibawa berjumpa doktor untuk konsultasi.

Bagi merawat anak-anak sindrom down pula, ibu bapa mesti rujuk pada pakar pediatrik untuk rawatan lanjut. Sebagai penutupnya, siapalah kita jika tidak mahu membuang ego untuk berkongsi beban yang ditanggung dengan orang yang mungkin lebih tahu. Bak kata seorang pakar pediatrik, “Penyakit keturunan di kalangan kanak-kanak adalah satu isu yang besar. Ia memerlukan penjelasan buku teks.”

No Comments Yet.

Leave a comment

You must be Logged in to post a comment.